Friday 7 August 2015

Syarahan Dakwah Bil Hal & Humanitarianism

0 comments


Pada 5 ogos 2015 baru-baru ini, Pengerusi Kebangsaan Briged Bakti Malaysia, Yang Berbahagia Dato Dr Abd Razak bin Haji Kechik, telah dijemput menyampaikan syarahan istimewa bertajuk Dakwah Bil Hal & Humanitarianism. Syarahan tersebut dianjurkan oleh Kelab Staf Kuliyyah of Information and Communications Technology, Universiti Islam Antarabangsa, dengan kerjasama Briged Bakti Malaysia, Malaysian Relief Agency dan Pertubuhan Staf Akademik UIA (ASA).

Dalam syarahan tersebut, Yang berbahagia Dato telah berkongsi pengalaman awal beliau sewaktu mula-mula terlibat dalam gerakan bantuan kemanusiaan. Antara isi menarik yang dikongsikan ialah, bagaimana beliau tanpa pengalaman dan tanpa pendidikan formal dalam bidang agama, dilantik mengetuai masyarakat Islam di Dublin, Ireland, selain banyak terlibat dengan aktiviti kemasyarakatan di sana seperti menguruskan jenazah, mengasaskan pusat sembelihan halal, memberikan pendidikan agama, dan mengislamkan penduduk tempatan.

Seterusnya, beliau berkongsi berkenaan dakwah bil hal yang beliau asaskan ketika menjadi doktor, bersama pasukan beliau, khususnya di Kelantan. Beliau menceritakan berkenaan kegiatan yang beliau laksanakan dalam kelompok pasukan perubatan beliau, ketika menyantuni masyarakat orang Asli di Kelantan, Perak, Pahang dan tempat-tempat lain.

Beliau turut berkongsi berkenaan tafsiran ayat-ayat Quran dan kaitannya dengan dakwah bil hal dan bantuan kemanusiaan. Syarahan beliau ditamatkan dengan jemputan kepada hadirin untuk mengikuti misi bantuan ke beberapa tempat seperti ke Cebu, Filipina, ke Kelantan, dan tempat-tempat lain, bagi merasai sendiri pengalaman berdakwah dan menyantuni masyarakat bukan Islam.

BBM Negeri Sembilan turut menghantar wakil bagi mendapatkan perkongsian yang sangat berharga tersebut.

Syarahan tersebut boleh dimuatturun melalui link berikut : http://bit.ly/dakwahbilhal

Saiz 60MB. Format audio, OGG.
Kredit perakam - Ustaz Hafizuddin Kamaruzzaman (Usim)

0 comments:

Post a Comment